Berita Harian 9hb Jun 2009
KUALA LUMPUR: Wanita MCA membidas pendirian Pemuda Pas yang mahu kerajaan mengekalkan kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera kerana menganggap ia tidak membantu memajukan negara dan hanya berkepentingan jangka pendek.
Ketuanya, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata sebaliknya Pemuda Pas wajar mengkaji langkah kerajaan mengubah kuota terbabit dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. “Kami percaya pemindahan kuota dalam mana-mana sektor komersial harus diterima sebagai salah satu cara untuk menggerakkan persaingan dalam bidang ekonomi serta meningkatkan tahap profesional dan produktiviti,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Chew berharap langkah liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini akan diteruskan dan isu keperluan kuota tidak akan ditimbulkan semula pada masa depan. “Langkah liberalisasi ini juga dapat meningkatkan pelaburan asing yang boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi yang sedang dilanda krisis memandangkan ia seiring dengan integrasi serantau Asean dan situasi globalisasi kini. “Liberalisasi ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan prospek kewangan dan seterusnya memastikan taraf ekonomi terjamin,” katanya.
Baru-baru ini akhbar melaporkan, Pemuda Pas yang mengadakan muktamarnya meluluskan resolusi supaya menggesa kerajaan mengekalkan dasar ekuiti 30 peratus untuk Bumiputera. Resolusi itu antara lima resolusi yang diluluskan Pemuda Pas dalam Muktamar Pas yang berakhir Ahad lalu.
No comments:
Post a Comment