Thursday, June 18, 2009

Makin Ramai Wanita Malaysia Pilih Keusahawanan Sebagai Kerjaya - Chew

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama)

Semakin ramai wanita di Malaysia memilih keusahawanan untuk kerjaya sekalipun menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan sokongan kewangan dan persaingan di pasaran, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun Khamis.

Beliau berkata kerajaan mengambil berat tentang cabaran ini dan kementerian-kementerian berkenaan telah ditugaskan mengenal pasti faktor-faktor yang menghalang seseorang itu dari maju dalam perniagaan.

Chew berkata 99 peratus dari syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) di negara ini terlibat dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dan wanita memiliki 16 peratus daripadanya, yang kebanyakannya dalam sektor perkhidmatan.

"Usahawan wanita Malaysia juga semakin diiktiraf sebagai pemain utama dalam ekonomi, khususnya SME, malah ada yang mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang oleh kerana mereka sekarang mengetuai beberapa syarikat multi-nasional yang biasanya didominasi oleh lelaki," katanya pada Persidangan pernigaan berjudul "First Asia Women Business Power" di Taman Teknologi Malaysia, di sini.

Beliau berkata, wanita kini boleh mendapat pelbagai geran dan dana kerajaan, termasuk skim bantuan khas menerusi Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec).-- BERNAMA

No comments: