Tuesday, June 16, 2009

Wajibkan agensi kerap jumpa pembantu rumah

Berita Utusan Online : 15/06/2009


Wanita MCA hari ini mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang yang mewajibkan agensi pembantu rumah mengadakan komunikasi secara kerap dengan pelanggan mereka sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Ketua Wanita MCA, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, pelaksanaan undang- undang itu diyakini berkesan untuk menghalang berlakunya kes penderaan.

Beliau berkata, semasa lawatan, pembantu rumah perlu dibenarkan berbincang secara peribadi dengan agensi mereka sekurang-kurangnya selama 30 minit tanpa kehadiran majikan.

"Perbincangan tertutup tanpa kehadiran majikan membolehkan pembantu rumah menceritakan masalah mereka tanpa perasaan takut.

"Sesi sama juga harus diadakan dengan majikan bagi membolehkan mereka meluahkan rasa tidak puas hati tentang mutu perkhidmatan atau masalah yang ditimbulkan pembantu rumah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kisah pembantu rumah Indonesia, Siti Hajar, 33, yang melarikan diri ke Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di ibu negara selepas mendakwa didera dengan kejam oleh majikannya baru-baru ini.

Mei Fun berkata, undang-undang itu jika diluluskan akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak iaitu memastikan kebajikan pembantu rumah dipelihara dan mengelak mereka daripada didera oleh majikan.

Bagi majikan pula, tambahnya, mereka akan menikmati mutu perkhidmatan yang baik kerana boleh membuat aduan sekiranya mendapat pembantu rumah yang bermasalah.

"Majikan berhak menuntut daripada agensi berkaitan untuk mendapatkan pembantu rumah baru jika mendapati mutu kerja pembantu rumah sedia ada tidak memuaskan.

"Undang-undang ini jika dilaksanakan juga mampu menyelesaikan masalah pembantu rumah lari dari rumah dan menyusahkan majikan," katanya.

No comments: