Wednesday, August 26, 2009

Paramedik berskuter selamat nyawa

Berita Harian News bhnews@bharian.com.my

Motosikal lebih praktikal beri bantuan di kawasan sesak
KLANG: Setiap kali ada kemalangan jalan raya, perkara sering berlaku ialah kesesakan jalan raya berikutan ramai yang mahu melihat apa yang berlaku.

Malangnya, bukan untuk membantu, sebaliknya sekadar mengetahui sama ada kemalangan itu teruk dan menyebabkan kematian atau sekadar calar pada badan kenderaan.

Apa yang dibimbangkan ialah sikap begini akan hanya menyusahkan pasukan penyelamat, terutama jika kemalangan itu membabitkan nyawa dan memerlukan rawatan segera.

Statistik Persatuan St John Ambulans menunjukkan 17 orang terbabit dalam nahas jalan raya setiap jam.

Sehubungan itu, bantuan kecemasan awal penting untuk menentukan sama ada mangsa mampu bertahan atau kecederaan menjadi lebih teruk dan akhirnya membawa kepada kematian.

Tindakan pemandu ambulans membunyikan siren juga tidak banyak membantu kerana ramai seolah-olah memekakkan telinga, selain keadaan lalu lintas yang sesak teruk sehingga menyukarkan pemandu kenderaan lain memberi laluan.

Idea penggunaan motosikal skuter dilihat sebagai satu cara yang mampu menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan secepat mungkin.

Menyedari keperluan sedemikian, Kelab Rotary Pudu membentuk kerjasama dengan Persatuan St John Ambulans Malaysia kawasan Pantai Selangor untuk mengurangkan kadar risiko kematian pengguna jalan raya melalui penubuhan `First Responder in Emergency'.

Kelab itu menyumbangkan RM33,000 bersama dua skuter, manakala Kelab Inner Wheels menyumbangkan RM10,000 yang akan digunakan untuk memberi bantuan kecemasan awal. Syarikat Goodyear Sdn Bhd pula menyumbangkan 35 tayar bagi kegunaan ambulans persatuan itu.

Semua sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Senator Chew Mei Fun, pada majlis ringkas di premis persatuan itu.

Ketika berucap pada majlis itu, Chew berkata, penggunaan motosikal lebih praktikal untuk membawa ahli paramedik ke tempat kemalangan berbanding ambulans yang terpaksa mengambil masa lama untuk tiba berikutan kesesakan jalan raya.

"Saya percaya nyawa yang berharga dapat diselamatkan melalui cara ini. Jika kaedah ini berjaya, saya berharap ia dapat diperkenalkan di kawasan yang dikenal pasti mencatat angka kemalangan tertinggi," katanya.

Antara kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi ialah di Klang dan Kuala Lumpur.

Seramai 1.2 juta orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya setiap tahun di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 65 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tiada usaha dilakukan bagi meminimumkan angka korban itu.

Statistik di Malaysia pula menunjukkan lebih 6,200 orang terbunuh di jalan raya setiap tahun dan setiap hari tiga penunggang motosikal mengalami kecederaan dengan satu daripadanya terbunuh, manakala ada yang menderita akibat kecederaan dialami.

Kerjasama antara Persatuan St John Ambulans Malaysia dengan Kelab Rotary Pudu terus mantap apabila berjaya mewujudkan empat rangkaian Pusat Haemodialisis bernilai RM2 juta di empat kawasan terpilih antaranya Klang dan Shah Alam selain beroperasi di 13 Pusat Dialisis seluruh Selangor.

1 comment:

Tikus Ong said...
This comment has been removed by a blog administrator.