Utusan Malaysia on line 24 Ogos 2009
(photo: CFL)
KUALA LUMPUR 23 Ogos - Projek Cari yang dilancarkan dua tahun lalu berjaya mengesan sebanyak 286,126 golongan miskin yang layak menerima bantuan setakat Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, jumlah itu cukup memberangsangkan berbanding 159,483 orang miskin yang berjaya dikesan setakat Jun tahun lalu.
Beliau berkata, kejayaan Projek Cari yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat itu membuktikan ia berkesan dalam usaha membantu kerajaan mencapai sasaran sifar kemiskinan menjelang 2011.
''Usaha untuk mencapai sasaran sifar kemiskinan akan lebih mudah jika semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menjayakannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Bank Makanan untuk Golongan Miskin anjuran Pusat Khidmat Komuniti Grace (GCS) di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi GCS, Henry K. Pillai, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad, Owen Ow dan Ketua Program Kolej Taylor, Tony Liew.
Bank makanan itu bertujuan menyalurkan makanan kepada golongan miskin di sekitar Lembah Klang yang merempat di jalanan termasuk golongan yang tidak mempunyai rumah serta ibu tunggal.
Dalam pada itu, Henry berkata, bank makanan adalah satu usaha untuk membantu golongan tersebut untuk kembali menjalani kehidupan yang stabil.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan kira-kira 2,000 bekalan makanan sehari untuk dihantar ke rumah kanak-kanak, pusat pemuliharaan dadah, dan Orang Asli termasuk di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, USJ, Pulau Carey dan Rawang melalui bantuan sukarelawan dan pekerja tetap.
Dalam pada itu, pihak Yeo Hiap Seng turut menaja 10,000 bekalan makanan dalam tin sebagai tanda sokongan kepada program bank makanan tersebut.
No comments:
Post a Comment